salam semua..

munajatku..padaMU Tuhan..
Ampuni dosa ku masa silam..
sempurnakanlah kehidupanku..
murahkan rezeki dengan nikmat MU ..
jadikanku hamba bertakwa..
Tiang Iman untuk AGAMA..

Selasa, 26 Julai 2011

iktibar sebuah kematian

Yang Akan Mengikut Mayat Ada Tiga Perkara iaitu:


1. Keluarga
2.. Hartanya
3. Amalnya

Ada Dua Yang Kembali Dan Satu akan Tinggal Bersamanya iaitu:

1. Keluarga dan Hartanya Akan Kembali
2. Sementara Amalnya Akan Tinggal Bersamanya.

MAKA KETIKA ROH MENINGGALKAN JASAD

Terdengarlah Suara Dari Langit Memekik, ‘Wahai Fulan Anak Si Fulan..

• – Apakah Kau Yang Telah Meninggalkan Dunia, Atau Dunia Yang Meninggalkanmu?
• – Apakah Kau Yang Telah Mengumpul Harta Kekayaan, Atau Kekayaan Yang Telah Mengumpulmu?
• – Apakah Kau Yang Telah Menumpuk Dunia, Atau Dunia Yang Telah Menumpukmu?
• – Apakah Kau Yang Telah Mengubur Dunia, Atau Dunia Yang Telah Menguburmu?’

KETIKA MAYAT TERGELETAK AKAN DIMANDIKAN

Terdengar Dari Langit Suara Memekik, ‘Wahai Fulan Anak Si Fulan…

• – Mana Badanmu Yang Dahulunya Kuat, Mengapa Kini Terkulai Lemah?
• – Mana Lisanmu Yang Dahulunya Fasih, Mengapa Kini Bungkam Tak Bersuara?
• – Mana Telingamu Yang Dahulunya Mendengar, Mengapa Kini Tuli Dari Seribu Bahasa?
• – Mana Sahabat-Sahabatmu Yang Dahulunya Setia, Mengapa Kini Ghaib Tak Bersuara?

KETIKA MAYAT SIAP DIKAFANKAN

Suara Dari Langit Terdengar Memekik,’Wahai Fulan Anak Si Fulan

• – Berbahagialah Apabila Kau Bersahabat Dengan RedhaMU
• – Celakalah Apabila Kau Bersahabat Dengan Murka Allah
• – Kini Kau Tengah Berada Dalam Sebuah Perjalanan Nun Jauh Tanpa Bekal
• – Kau Telah Keluar Dari Rumahmu Dan Tidak Akan Kembali Selamanya
• – Kini Kau Tengah Safar Pada Sebuah Tujuan Yang Penuh Pertanyaan.’

KETIKA JENAZAH DI USUNG

Terdengar Dari Langit Suara Memekik, ‘Wahai Fulan Anak Si Fulan..

• – Berbahagialah Apabila Amalmu Adalah Kebajikan
• – Berbahagialah Apabila Matimu Diawali Taubat
• – Berbahagialah Apabila Hidupmu Penuh Dengan Taat.’

KETIKA MAYAT SIAP DISEMBAHYANGKAN

Terdengar dari Langit Suara Memekik, ‘Wahai Fulan Anak Si Fulan..

• – Setiap Pekerjaan Yang Kau Lakukan Kelak Kau Lihat Hasilnya Di Akhirat
• – Apabila Baik Maka Kau Akan Melihatnya Baik
• – Apabila Buruk, Kau Akan Melihatnya Buruk.’

KETIKA MAYAT DIBARINGKAN DI LIANG LAHAD

terdengar Suara Memekik Dari Langit,’Wahai Fulan Anak Si Fulan…

• Apa Yang Telah Kau Siapkan Dari Rumahmu Yang Luas Di Dunia Untuk Kehidupan Yang Penuh Gelap Gulita Di Sini
Wahai Fulan Anak Si Fulan…
• – Dahulu Kau Tertawa, Kini Dalam Perutku Kau Menangis
• – Dahulu Kau Bergembira,Kini Dalam Perutku Kau Berduka
• – Dahulu Kau Bertutur Kata, Kini Dalam Perutku Kau Bungkam Seribu Bahasa.’

KETIKA SEMUA MANUSIA MENINGGALKANNYA SENDIRIAN

Allah Berkata Kepadanya, ‘Wahai Hamba-Ku…. .

• Kini Kau Tinggal Seorang Diri
• Tiada Teman Dan Tiada Kerabat
• Di Sebuah Tempat Kecil, Sempit Dan Gelap..
• Mereka Pergi Meninggalkanmu. … Seorang Diri
• Padahal, Kerana Mereka Kau Pernah Langgar Perintahku
• Hari Ini,…. Akan Kutunjukan Kepadamu
• Kasih Sayang-Ku
• Yang Akan Takjub Seisi Alam
• Aku Akan Menyayangimu
• Lebih Dari Kasih Sayang Seorang Ibu Pada Anaknya’.

Kepada Jiwa-Jiwa Yang Tenang Allah Berfirman , ‘Wahai Jiwa Yang Tenang

• Kembalilah Kepada Tuhanmu
• Dengan Hati Yang Puas Lagi Diredhai-Nya
• Maka Masuklah Ke Dalam Jamaah Hamba-Hamba- Ku
• Dan Masuklah Ke Dalam Jannah-Ku’

-kematian akan datang tidak cepat atau lambat walau sesaat,oleh itu,bersedialah-


Jumaat, 22 Julai 2011

BERSIH 2.0:Di Balik Tirai Dirimu





Imaginasi dan perjuangan seseorang adalah personal… tidak dapat dimiliki orang lain, bahkan dimiliki pejuang lain pun tidak dapat… Begitu seorang pejuang yang mati, tugasnya sebagai pejuang tidak dapat diambil alih orang lain. – 10 Julai 2011
Bersih 2.0 adalah sebuah harapan yang terlahir dalam bentuk realiti. Biar didendang sumbang oleh sang penguasa saban ketika, namun jiwa rakyat yang merdeka tidak dibiar bertepi gulana. Sungguh, bukan ribuan dua mereka yang jiwanya merdeka itu.
Hadhirnya mereka – gelandangan anak merdeka di setiap lorong dan jalanan kota Sembilan Julai lalu adalah satu-satunya rakaman ulung potret kehidupan rakyat Malaysia. Indah. Terlalu indah untuk digambarkan oleh kata-kata.
* * *
Betapa seisi dunia menyaksikan, harapan jiwa-jiwa merdeka ini bukanlah suatu candra (yang tidak terlihat), malah ia sampai dirasa oleh segenap warga Malaysia – di serata ceruk dunia. Tak ada hiba lagi yang tersimpan saat ini, usai menyaksikan satu demi satu rakaman perjuangan mereka di tanah air sendiri. Dihina, dicaci, dibaling, dilempar – bukanlah apa-apa pun bagi mereka. Biar digertak dan dicerca, hanya satu yang mereka laungkan – Keadilan untuk semua.
Helai demi helai rakaman Sembilan Julai itu saya tatap. Seorang perempuan tua Cina bersama sisa kuntuman kekwa, berjalan dalam redha. Seorang lelaki India, yang tidak sempurna langkahnya, melangkah laju bersama anak-anak muda.
Saat terlihat seorang isteri tua bertudung litup teguh memaut lengan suaminya merentas arus manusia, air mata saya jatuh. Tiada daya untuk membayangkan apa yang telah mereka lalui selama ini. Barangkali ada keadilan yang masih mereka belum dapatkan, yang masih belum tertegakkan. Tiada siapa yang tahu.
Melihat perjuangan mereka dari lensa kamera sudah cukup untuk meruntun jiwa, apatah lagi bagi mereka yang jasadnya memang dzahir di sana.
* * *
Membaca segala kekejaman pihak berkuasa terhadap rakyat yang tiada cela dosa ini, hanya membangkit rasa kasihan yang tidak ternilai jumlahnya. Simpati yang tidak berbelah bahagi melihat ada sebuah golongan yang tiada jiwa di hati mereka.
Usahkan sedikit belas, seculas hormat pun tidak ada di dalam hati mereka. Rakyat itu tiada apa di dalam genggamannya, hanya berbekalkan kalimat doa semata; namun tetap jua dibidas senjata, tetap jua dibilas oleh air berbisa – oleh mereka yang kononnya berkuasa.
Mereka itulah yang sebenarnya penderhaka negara. Mereka yang dahulunya berikrar mahu menjaga keamanan negara, melindungi warga jelata, kini bertukar lagak singa membaham mangsanya. Meraut luka di tubuh rakyat yang dahagakan keamanan; mencantas mimpi rakyat yang rindukan kebajikan.
Nyata, tiada apa yang mampu diharapkan lagi dari mereka. Kerana kuasa, mereka angkuh dengan rakyat sendiri. Kerana selesa, mereka alpa pada janji. Barangkali semua sudah mengerti, dari hari ini, perjuangan kita adalah sendiri.
* * *
Barangkali di sudut dunia yang lain, ada mereka – yang mencemuh perjuangan kalian pada hari ini. Mereka yang gelisah memikirkan pelanggan dan perniagaan, mereka yang resah memikirkan robohnya tiang rezeki, mereka yang melempar benci hanya kerana sekatan jalan.
Biarkan mereka dengan ‘dunia’.
Barangkali mereka lupa, dunia yang kita diami ini bukan milik kita. Bukan juga warisan nenek moyang kita. Ia adalah amanah dari anak-anak kita. Kita hanya meminjamnya dari mereka, sama seperi yang kita pernah pinjamkan pada Adam dan Hawa. Sampai satu ketika, semua yang ada menjadi tiada makna.
Yang tinggal – Cuma himpunan peristiwa-peristiwa.
* * *
Jangan sesekali kalian lupa akan peristiwa di zaman Ibrahim. Seekor burung kecil yang terbang berulang alik mengisi air dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar tubuh Ibrahim. Itulah yang dilakukannya berulangkali. Sehingga makhluk lain bertanya mengapa ia berlaku sedemikian, air itu jika dihimpun sekalipun, tiada mampu memadamkan api tersebut.
Lalu dijawab olehnya, “Meski Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkannya atau tidak, tetapi sekurang-kurangnya Allah menjadi saksi bahawa aku telah berusaha untuk menyelamatkan ugama-Nya”.
Demikianlah, Dia memberi pesan melalui peristiwa-peristiwa umat terdahulu.
* * *
Bergembiralah kalian, seandainya langkah kelmarin kerana ingin mempertahankan keindahan nama-namaNya. Bergembiralah dengan pesan besar yang pernah disampaikan – bahawa keadilan itu akan kita genggami jua, jika tidak di dunia ini, pastinya kita temui di sana. Itu bukan janji dari penguasa dunia, tetapi Dia – penguasa seluruh jagad raya.
Bersaksilah jua akan sebuah kebenaran – kalian berjuang bukan atas nama bangsa. Takbir kalian bukan “Melayu”, bukan “UMNO-BN”. Hari ini, kerana kalian, jutaan warga yang ‘terlelap seketika’ menyaksikan sendiri dengan segala ruh yang ada, akan sebuah karya penguasa.
Nyata, betapa sengkarutnya alur perjuangan yang bakal ditempuh oleh kita, warga jelata yang tiada upaya. Sesungguhnya, selagi kita tidak menjadikan nama perjuangan sebagai wadah mencari dunia, maka dzat dan citranya akan tetap harum di setiap persada.
Biarkan mereka yang singkat visi hidupnya. Mereka yang hanyut bagai reba – sama ada ke pinggir atau terumbang-ambing di muara. Kerana kuasa, mereka lupa dengan hal-hal kemanusiaan diri dan sesama manusia.
Demi, betapa bukan tujuan kehidupan kita untuk memberi arah, mahupun menentukan jalur manusia yang lain. Perjuangan ini juga seumpama Cahaya-Nya (hidayah), tidak mampu didapati di mana-mana. Perjuangan ini bukan antara manusia desa dan manusia kota, tetapi kita – seluruh rakyat Malaysia.
* * *
9 Julai 2011.
Ia bukan sekadar simbolik harapan, tetapi ia mendukung tinggi sebuah kebenaran – bahawa rakyat Malaysia bukanlah Melayu, Cina dan India tetapi Anak Malaysia.
Ingin sekali saya khabarkan kepada jiwa-jiwa merdeka itu, bahawa mereka bukan sendiri. Betapa di setiap pelusuk dunia, ingatan dan doa teguh mengiringi. Carilah tangga yang nyata itu, biar terpaksa mendakinya dari khayalan mimpi kerana di balik tirai itulah, keindahan-Nya akan Dia tampilkan.
Di mata dunia, kalianlah Wira.