salam semua..

munajatku..padaMU Tuhan..
Ampuni dosa ku masa silam..
sempurnakanlah kehidupanku..
murahkan rezeki dengan nikmat MU ..
jadikanku hamba bertakwa..
Tiang Iman untuk AGAMA..

Sabtu, 12 November 2011

REHATKAN HATI


Sungguh, benteng pertahanan terakhir kita kian rapuh. Saban hari saya menerima email atau panggilan yang menceritakan tentang rumah tangga yang hampir runtuh. Padahal saya sendiri masih terkial-kial bermujahadah untuk menjadi ayah, suami dan anak yang baik. 
Kekadang saya tidak dapat memberi jawapan yang baru. Ini tentu menjemukan, kerana sahabat-sahabat perlukan pembaharuan pada jawapan. Apa yang mampu saya luahkan? Selain, mengulang-ulang apa yang pernah dipesankan oleh generasi salafussoleh terdahulu. Juga mengulang-ulang kata-kata yang pernah membujuk hati ketika saya sendiri diuji. 
Sahabat dan saudaraku… jangan pernah mengalah. Patah sayap, terbanglah jua. Jika jatuh, jangan rebah… biar terhenyak tetapi tetap tegak walaupun terpaksa bertongkatkan dagu. Marilah kita berpegang pada janji bahawa kita akan selamanya bersatu dalam munajat dan nasihat. Kerana apa yang kita harap daripada seorang manusia hanyalah dua… munajatnya dan nasihatnya!
Tidak semua yang bertanya dapat saya jawab secara khusus. Ada yang saya baca dan terus doakan. Ada yang saya baca, terus termenung… berfikir dengan kepala yang simpati dan dada yang empati. MasyaAllah, kita sering kalah. Namun, buat sekian kalinya kita berbaiah, kita sekali-kali tidak akan mengalah!
Lalu, diketika saat-saat dirimu dan diriku diuji, sudi apalah kiranya kita REHATKAN HATI...
Mengapa setelah berzikir, solat atau berdoa  hati belum tenang? Sedangkan Allah telah menetapkan dalam Al Quran bahawa dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang? Khususnya ketika menghadapi ujian rumah tangga mengapa hati kita masih resah, kacau dan galau walaupun sudah berbuih mulut meluahkan kalimah-kalimah zikir? Justeru, ramai isteri atau suami mengadu, mengapa hati mereka tidak tenang walaupun telah berzikir ketika menghadapi krisis, ujian dan kesusahan dalam hidup berumah tangga?
Mengapa kita belum mendapat ketenangan sepertimana yang dimiliki oleh pasangan Sayidina Ali dan Siti Fatimah walaupun kita telah berzikir dengan kalimah subhanallah, alhamdulillah dan Allah hu Akbar, sama seperti yang pernah diamalkan oleh mereka? Apa yang tidak kena dengan zikir kita? Bukankah kalimahnya sama? Bukankah jumlah atau bilangannya sama?
Tidak syak lagi kita tidak dapat menghayati maksud tersirat daripada kalimah-kalimah zikir itu. Berzikir tanpa menghayati falsafah dan makna tersirat di sebaliknya, umpama burung kakak yang pandai bertutur. Untuk menghayati makna zikir sehingga meresap ke dalam hati perlukan ilmu, amalan dan latihan. Marilah kita sama-sama kita fahami apakah kesan atau rasa-rasa yang perlu dirasai oleh hati apabila kita mengingati Allah (berzikir).  Antara rasa-rasa itu ialah:
1.      Rasa kehambaan.
Rasa kehambaan ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain sifat kekurangan seorang manusia apabila berdepan dengan ujian daripada Tuhannya. Apabila diuji dengan karenah pasangan, kekurangan harta, anak-anak sakit dan sebagainya, seorang suami atau isteri yang memiliki rasa kehambaan akan sedar bahawa semua itu hakikatnya datang daripada Allah. Firman Allah:
“Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal. (Surah al-Taubah 9: 51).”
Bila menyedari hakikat itu, seseorang akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Hatinya berbisik, “bukankah aku seorang hamba? Aku sewajarnya akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku diuji begini. “ Hatinya tidak akan berkata, “kenapa aku, bukan orang lain?” Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Sebaliknya jika kita ‘memberontak’, hati akan bertambah kacau. Let go, let God – maksudnya lepaskan dan pasrahlah kepada Allah.
Apakah tanda-tanda kita memberontak apabila diuji? Kata Imam Ghazali rahimahullah, “cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah ‘memberontak’ kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya!” Misalnya, seseorang suami atau isteri itu tidak mahu lagi untuk makan dan minum secara teratur, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan rumah atau menjaga anak-anaknya lagi.
Marilah sama-sama kita ingat, apabila ditimpa ujian, kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja’, “Inna lillah wa inna ilaihi raji’un.” Firman Allah:
“Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali. (Surah al-Baqarah 2:156).”
Kalimah ini mengingatkan kita agar kembali merasakan erti kehambaan. Bahawa kita adalah milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini. Dengan ini kita akan dapat menurunkan rasa marah kepada pasangan, anak-anak, mertua atau sesiapa sahaja anggota keluarga kita. Ya, mereka berbuat demikian atas izin Allah jua!
2. Rasa bertuhan.
Rasa kehambaan yang serba lemah, itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Apabila kita rasa lemah, timbul pergantungan kepada yang Maha kuat. Apabila kita rasa kurang, timbul pengharapan kepada yang Maha sempurna. Apabila kita dihimpit kesedihan semakin kuat rasa pergantungan, pengharapan, permintaan kita kepada Allah. Mungkin selama ini kita terlalu bergantung kepada suami, isteri atau anak-anak.
Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina dan lemah. Sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa sabar, tenang dan berani menghadapi apa jua masalah dalam rumah tangga. Seorang suami yang paling kuat menghadapi ujian dalam hidup ialah suami yang merasa lemah di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Firman Allah:“Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. (Surah Taubah 9:40)”
Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan rasul sanggup berdepan dengan karenah isteri mereka. Nabi Luth, Nabi Ayub, Nabi Nuh misalnya, mampu menghadapi ujian yang paling kritikal dalam rumah tangga mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah. Firman Allah: “Dan pintalah pertolongan dengan sabar dan mengerjakan solat. (Surah al-Baqarah 2: 45)”
Dalam apa jua keadaan – positif mahupun negatif, hati suami atau isteri tetap tenang. Firman Allah:  “Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana. (Surah al-Fath 48:4)”
Apabila hati tenang, berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang dilaporkan oleh Sa’ad bin Abi Waqqas: “Aku hairan dengan orang beriman, sekiranya dia mendapat kebaikan, maka dia akan memuji Allah dan bersyukur, dan sekiranya dia mendapat musibah dia akan memuji Allah dan bersabar. Dan setiap mukmin diganjari dalam setiap urusannya sehingalah diberi pahala pada setiap suapan makan yang diangkat ke mulut isterinya.”
3.      Memahami maksud takdir Allah
Mana mungkin kita dapat mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can’t direct the wind but we can adjust our sail – kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.
Kemudi dalam bahtera rumah tangga kita ialah hati. Hati yang bersifat berbolak-balik (terutamanya apabila diuji) hanya akan tenang apabila kita meyakini sifat kasih sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya tetap bersama kita sewaktu diuji. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan buruk. Walaupun kekadang kita belum nampak kebaikannya, percayalah kebaikannya pasti ada.
Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baiklah kepada Allah, berdasarkan firman-Nya:  “Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui sedang kamu tidak mengetahuinya. (Surah Al Baqarah 2: 216)”
Siapa tidak inginkan keharmonian, kasih sayang dan kemakmuran dalam berumah tangga. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, krisis masih berlaku jua, maka bersangka baiklah dengan Tuhan. Mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita kesempitan belanja, maka berusahalah untuk menambah pendapatan, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.  Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.
Dengan ini kita tidak akan merungut, stres dan tertekan. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini:“Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”
Jagalah rumah tangga kita dengan sebaik-baiknya. Carilah jalan damai sehabis daya.  Namun ingatlah jika badai terus melanda, ingatlah itu sudah maktub (tertulis). Jangan rosakkan hati kita dengan kalimah “kalau” atau “jika”. Hayati sabda Rasulullah saw ini: “Oleh itu, hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas. Dan jika engkau ditimpa sesuatu, maka janganlah engkau berkata: “Kalau aku lakukan anu anu, tentulah akan terjadi anu anu, tetapi katalah: “Allah telah takdirkan dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan,’ kerana perkataan ‘kalau’ itu membuka jalan kepada hasutan syaitan.” (Hadis riwayat Muslim)
4.      Mendapat hikmah apabila diuji.
Hikmah adalah suatu kebijaksanaan mendapat kebaikan di sebalik satu keburukan. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh mehnah – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya. Daripada Abd al-Rahman bin Azhar bahawa Ra­sul­ullah SAW bersabda:“Perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa sakit atau demam, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja.”
Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah para suami atau isteri meraih sebanyak-banyaknya pahala dan keredhaan Allah. Rumah tangga adalah medan ‘perjuangan’ melawan nafsu marah, putus asa, buruk sangka, dendam dan lain-lain sifat mazmumah yang mungkin timbul hasil interaksi dan komunikasi antara suami isteri, ibu-bapa dengan anak-anak, mertua dengan menantu.
Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Justeru, hayatilah kata-kata hikmah ini: “Allah melapangkan bagimu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan, dan Allah menyempitkan bagimu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.”
Ya, inilah empat rasa yang sewajarnya ada ketika kita berzikir sewaktu mengharungi ujian dalam berrumah tangga. Bawalah hati kita berehat… dan rehat sebenar ada di dalam zikir. Dan zikir yang paling besar adalah solat. Oleh kerana itulah Rasulullah saw sering menyuruh Bilal supaya azan dengan katanya yang membujuk, “rehatkan kami dengan solat wahai Bilal!”

Isnin, 15 Ogos 2011

memori diari seorang ibu


Empat tahun dua bulan mak membesarkan Abang. Mak selak helaian demi helaian paparan kertas dalam diari yang sedikit usang itu. Aduh! Banyak sungguh memori yang tercatat di dalamnya. Membacanya bagaikan meruntun jiwa mak kembali mengenangkan perjalanan derita Abang sejak lahir hingga menghembuskan nafas terakhir. Mata mak terpaku pada catatan peristiwa lebih kurang tiga bulan sebelum Abang pergi. Mak rasa, di sinilah terkandung jawapan yang mak cari-cari. Jawapan untuk soalan yang mereka tanya kenapa mak tidak menangis?
Mak akan bacakan sedikit rentetan diari ini supaya mereka tahu kenapa mak tidak menangis, sayang.
Januari 2011- Perut Abang semakin membusung kerana hati membengkak. kata doktor, semua organ dalaman Abang sudah rosak, sudah 'reput'. Tidak boleh diselamatkan lagi. Tidak mengapa. Hati mak berkata, cukuplah! Tidak akan ada lagi pembedahan untuk Abang.
 26 Februari 2011- Hari ini ulang tahun ke-4 abang. Dua hari sebelum itu, mak tanya, abang nak kek apa? Abang jawab, nak kek lori sampah! Hah Hah.. Tergelak mak. Abang suka sangat melihat lori sampah yang lalu setiap pagi depan rumah. Sebab itu abang nak kek bentuk lori sampah, Puas mak dan abah melilau sekitar Kuala Lumpur, tetapi tak jumpa kek macam tu. Tak ada yang sanggup buat kek macam yang Abang minta. Mak kecewa! Selama ini, mak tunaikan apa saja permintaan Abang, tapi kali ini mak gagal. Mak belikan kek coklat strawberi sebagai pengganti. Dengan perut membusung, dada berombak kerana sukar bernafas, Abang masih tersenyum dan nampak ceria melayan rakan-rakan yang datang, sama-sama menyanyikan lagu hari jadi Abang. Dan ketika itu, hati mak sudah terdetik, mungkin ini hari jadi Abang yang terakhir.

Informasi iluvislam.com

7 Mac 2011- Keadaan Abang semakin kritikal. Perut Abang semakin membesar. Abang tidak mampu untuk bergerak dan lebih banyak terbaring serta asyik sesak nafas. Mak semakin tidak tahan melihatkan keadaan Abang sebegini rupa. Mak bawa Abang ke IJN, rumah 'kedua' Abang sepanjang tempoh hayat Abang. Kata doktor, tiada apa yang boleh dilakukan lagi. Abang hanya menanti waktu. Mak angguk perlahan-lahan. Mak redha dengan ketentuan ilahi. Dalam hati mak juga terdetik, masa Abang sudah tidak lama lagi. Para ibu di wad tersebut asyik bertanya pada mak, macam mana dengan keadaan Abang? Mak cuma mampu untuk jawab, "Insya-Allah, Abang akan sihat!" Mak terpaksa cakap begitu pada mereka, sebab mak tidak mahu mereka semua lemah semangat jika mereka tahu Abang sudah tiada harapan lagi. Mereka pun sedang bertarung dengan ujian Allah apabila anak-anak yang dikasihi ditimpa penyakit. Jadi biarlah jawapan yang mak beri itu kedengaran manis pada telinga mereka. Pahitnya, biarlah mak sendiri yang telan.
13 Mac 2011- Hari ini merupakan hari Ahad. Mak pinta kebenaran doktor untuk bawa Abang pulang kerumah. Doktor izinkan. Biarlah Abang habiskan waktu-waktu terakhir bersama keluarga. Dan di saat-saat akhir ini, mak mahu tunaikan apa saja permintaan Abang. Di rumah, setiap hari mak akan tanya, "Abang nak apa harini?"
Mak masih ingat pada suatu pagi, abang menjawab, "Mak, Abang nak naik kereta bomba!"
Mak termenung dengar permintaan Abang. Bila abah pulang ke rumah, terus mak ajak abah keluar. Abah tanya pergi mana?
Mak jawab, "Balai bomba!"
Sampai di situ, mak meminta izin daripada pegawai bomba. Mak kata padanya, Abang teringin sangat nak merasa naik ke dalam trak bomba. Pegawai itu cuma garu-garu kepala, kemudiannya menggeleng-gelengkan kepala. Belum sempat pegawai bomba itu menjawab, lantas mak tarik baju Abang ke paras dada.
Separuh berbisik, mak beritahu pegawai itu, "Encik, ini anak bongsu saya dan hanya menanti masa untuk 'pergi'! Benarkan saya tunaikan impian terakhirnya ini!" Bila lihat perut Abang yang buncit dan dada dipenuhi kesan parut dan jahitan, pegawai itu tidak tunggu lama. Terus dicapainya kunci, dibuka pintu salah satu trak bomba itu. Lantas dia terus dukung Abang dan letakkan Abang ke atas tempat duduk bahagian pemandu. Abang nampak gembira sangat biarpun cuma 15 minit abang di dalam trak itu. Tetapi Abang tidak perasan, ketika itu mak palingkan muka selama lima saat. Sekadar mahu mengelap titisan air mata yang mula bertakung.
Hari lain, mak tanya lagi pada abang, "Abang nak apa?"
Abang pun jawab: "Abang nak naik lori sampah!" Mak dukung Abang, tunggu depan rumah. Bila lori sampah lalu pagi itu menjalankan rutinnya mengutip sampah, Mak tahan lori itu.
"Encik, anak saya teringin naik lori ni. Boleh izinkan sebentar?" Pekerja itu tertawa mendengar kata-kata mak. Kemudian, mak angkat baju Abang dan beritahu perkara sama. Terus berubah mimik wajah mereka. Segera mereka angkat Abang, letakkan di tempat duduk pemandu. Ada antara pekerja itu yang memalingkan muka, tak sangup untuk melihat Abang lama-lama. Sedih agaknya. Begitulah seterusnya. Setiap hari, mak akan tanya pertanyaan yang sama. Kalau Abang nak tengok gajah, mak akan bawa Abang pergi zoo. Walaupun abang tak larat jalan, tak apa.
Mak dan abah tidak kisah, kami silih berganti dukung Abang. Abang pinta nak tengok burung, mak bawa Abang ke taman burung. Abang nak main permainan robot, mak bawa ke kompleks beli-belah yang ada permainan seperti itu. Ke mana saja Abang nak pergi dan apa sahaja yang Abang inginkan, semuanya mak tunaikan! Setiap hari juga mak tanya Abang nak makan apa. Macam-macam Abang teringin nak makan. Murtabak, nasi paprik, milo ais, cendol, air tebu, air bandung, rojak dan macam-macam lagi, semuanya mak tunaikan walaupun makanan itu Abang pinta pada pukul 3.00 pagi. 
Mak tahu dan faham, masa Abang bersama mak dan abah semakin suntuk!
27 Mac 2011- Abang semakin kritikal! Abang sudah tidak mampu untuk berkata-kata, apatah lagi untuk bergerak seperti biasa. Mata Abang kuyu dan Abang hanya mampu terbaring sambil memeluk Aina, anak patung kesayangan Abang. Mak segera pinta abah bawa Abang ke hospital.
"Kali ini kita bawa abang ke IJN, tapi kita mungkin akan keluar dengan tubuh abang yang sudah tidak bernafas!" Itulah kata-kata mak pada abah sebelum bertolak ke IJN. Mak mahu abah bersedia dan redha jika apa-apa berlaku. Sampai di IJN, abang terus ditempatkan di wad khas untuk pesakit kritikal.
5 April 2011- Mak telefon sekolah asrama Kakak sulung di Seremban. Mak minta pelepasan daripada cikgu untuk benarkan Kakak pulang.
"Adik tenat. Saya mahu kakak-kakaknya berada di sampingnya pada saat terakhir!" Mak pinta pada cikgu dan Kakak diizinkan pulang. Kemudian, Dr. Adura, doktor yang sinonim merawat abang juga datang melawat. Ketika itu mak ceritakan yang mak terkilan sangat tidak dapat tunaikan permintaan Abang yang mahukan kek berbentuk lori sampah.
7 April 2011- Pagi ini Dr. Adura datang melawat Abang lagi. Kemudian Dr. Adura beritahu adasurprise untuk Abang tengah hari ini. Rupa-rupanya, tengah hari itu tetamu yang juga rakan-rakan alam maya Dr. Adura datang membawa kek lori sampah yang Abang mahukan sebelum ini. Ada dua kek mereka bawa. Mak tak sangka, Dr. Adura rajin menulis mengenai kisah abang di dalam blognya dan ramai yang menawarkan diri untuk menyediakan kek yang abang pinta. Para tetamu bersama jururawat dan doktor menyanyikan lagu selamat ulang tahun untuk Abang. Tetapi abang kurang ceria, wajah Abang tampak letih dan nafas abang turun naik.
8 April 2011- Tengah hari ini, masih ada lagi tetamu datang membawa kek berbentuk lori warna pink untuk abang. Tetapi abang sangat lemah. Abang sekadar terbaring merenung kek itu. Malam itu, semasa jururawat mengambil tekanan darah Abang, bacaanya meningkat naik. Tetapi hati mak dapat merasakan yang Abang sekadar mahu meredakan keresahan hati mak. Malam itu, hanya mak berdua dengan Abang berada di dalam bilik. Mak pandang sayu wajah abang yang semakin lesu dan pucat. Mak duduk di sebelah Abang, mak peluk dan usap rambut Abang. Mak menangis teresak-esak bagai anak kecil.
Dalam tangis itu, mak katakan pada Abang, "Mak tahu Abang nak senangkan hati mak. Abang tak perlu buat macam tu. Mak tahu Abang nak pergi. Jangan tahan-tahan Abang. Pergilah menghadap Ilahi. Mak sudah sedia. Mak redha segalanya. Mak puas dapat sempurnakan apa sahaja hajat yang Abang pinta. Mak juga bangga kerana Allah hadirkan Abang dalam hidup mak walaupun seketika."
Abang hanya diam, memandang mak dengan pandangan lesu. Dan ketika itu mak menangis sepuas-puasnya. Mak juga berjanji bahwa mak tidak akan menangis lagi selepas itu! Ya, mak tidak akan menangis lagi biarpun abang sudah tiada lagi di dunia.
9 April 2011- Pagi itu mak pesan pada abah agar bawa semua anak-anak datang ke hospital. Masa Abang dah dekat sangat. Mak lihat Abang sudah kritikal. Wajah Abang sudah tampak biru, lebam! Dada Abang berombak, tercungap-cungap menarik nafas.
Abang sudah tidak mahu makan dan minum lagi sejak malam tadi. Pukul 8.00 pagi, abah dan kakak-kakak sampai. Mak suruh Kak Long bacakan Yaasin di sebelah Abang. Mak suruh abah baca juga, tapi bacaan abah tersekat-sekat kerana cuba menahan tangisnya.
Pukul 3.00 petang, Abang semakin lesu. Lantas mak ajak Abang keluar berjalan-jalan.
"Abang, abang nak tengok matahari tak? Jom kita turun kantin minum sambil tengok matahari!"
Abang hanya mengangguk lemah. Mak dukung Abang dan kita satu keluarga turun ke kantin. Abang mahu minum air coklat. Tapi Abang hanya minum seteguk. Kemudian, Abang lentukkan kepala pada bahu mak.
"Abang, tu tengok kat luar tu? Nampak tak sinar matahari tu? Cantikkan?" Mak tunjuk pada abang sinar matahari yang kelihatan di celah-celah rintik hujan yang turun waktu itu. Abang angkat kepala melihat ke arah matahari itu. kemudian, abang menguap.
"Abang ngantuk!" Itu kata Abang dan kemudian abang terlentuk semula pada bahu mak. Tiba-tiba jantung mak berdegup kencang. "Bang, jom naik. Abang nak 'tidur'! Mak terus ajak abah dan kakak-kakak naik semula ke wad walaupun mereka belum sempat jamah makanan di atas meja.
Sampai sahaja di wad, mak terus baringkan Abang di atas katil.
Dan Abang terus merintih dalam nada yang lemah, "Makkk..sakit perut..!" 
Suara Abang amat perlahan dan amat sayu bunyinya. Lantas mak letak tapak tangan mak atas dahi Abang.
"Abang, hari ini, waktu ini, mak redhakan Abang pergi. Mak halalkan segala makan minum Abang. Mak halalkan air susu mak untuk Abang. Pergilah Abang. Mak izinkan Abang pergi!" Mak ucapkan kata-kata itu sambil merenung jauh ke dalam mata Abang yang semakin kuyu. Saat Abang sedang nazak itu, mak panggil kakak-kakak agar mengucup Abang selagi Abang masih bernafas. Mereka kucup pipi Abang bertalu-talu dan mula meraung dan menangis.
"Kakak! Kalau kamu semua nak menangis, keluar dari bilik ini. Mak tak mahu Abang dengar kamu menangis! Jangan seksa Abang dengan tangisan kamu semua!" Mak marah mereka. Mak tidak mahu Abang lihat kami menangisi pemergian Abang. Mak tahu, Abang akan jadi lebih sedih dan berat hati untuk pergi bila melihat kami menangis di saat akhir sakaratulmaut menjemput Abang. Mak tidak mahu tambahkan lagi kesedihan Abang untuk meninggalkan kami. Abah pula hanya berdiri di penjuru bilik, meraup wajah menahan suara tangisannya. Jururawat yang ada dalam bilik juga menangis, mak suruh jururawat keluar dan tutup tirai bilik itu. Mak tak mahu orang luar lihat. Mak tak mahu ada orang menangis di saat Abang akan pergi. Setitis dua mengalir juga air mata mak. Tapi mak masih mampu tersenyum.
"Pergilah Abang. Mak izinkan. Mak izinkan.. pergilah.."
Dan perlahan-lahan mata abang yang layu tertutup rapat, genggaman tangan Abang pada jari mak semakin lemah dan akhirnya terlepas...
Pukul 3.50 petang, akhirnya Abang meninggalkan dunia fana ini. Innalillahiwainnailahirajiun.
 Mak kucup dahi Abang. Mak bisikkan di telinga Abang, "Tenanglah Abang di sana. Suatu hari nanti, mak juga pasti akan turuti jejak Abang. Abang... tunggu mak di sana ya! Di syurga!"
Abang, sekarang mak sudah dapat jawapanya. Mengapa mak tidak menangis? Pertama, Abang telah di takdirkan menjadi ahli Syurga yang akan membantu mak di sana nanti. Kedua, apa saja keinginan Abang semasa hayat abang telah mak tunaikan. Tiada lagi rasa terkilan di hati mak. Ketiga, segala hutang sebagai seorang ibu telah mak langsaikan semasa hayat Abang. Mak telah sunatkan dan buat akikah untuk Abang. Keempat, mak telah menjalankan tanggungjawab sepenuhnya, sentiasa berada di sisi Abang dan menggembirakan Abang setiap saat dan waktu. Kelima, mak rasa istimewa dipilih Allah untuk mendapat anak seperti Abang. Mak jadi 'kaya' dengan kehadiran Abang. Kaya kesabaran, kaya tawadhuk, kaya keredhaan, kaya keimanan, kaya kawan, kaya ilmu, dan kaya pengetahuan. Mak telah beri segala-galanya melebihi seratus peratus untuk Abang. Mak telah beri yang terbaik dan mak telah berusaha hingga ke garisan penamat. Sebab itu mak tidak perlu menangis lagi.
Abang.. biarpun kini hidup mak dan abah terasa sunyi dan kosong tanpa Abang tapi... mak akan sentiasa tersenyum mengenangkan saat-saat terindah kehadiran Abang dalam hidup kami biarpun cuma sebentar.
Abang dalam kisah ini adalah adik Iqbal Fahreen Hamdan, anak bongsu daripada lima beradik. Abang masuk hospital seawal usia dua minggu akibat menghidapi lima jenis kompilasi jantung termasuklah kekurangan injap, jantung berlubang dan saluran sempit. Abang telah menjalani pelbagai siri pembedahan seawal usia dua bulan dan ada antara pembedahannya yang gagal, malah abang pernah disahkan 'mati' apabila jantungnya berhenti berdenyut. Walaupun pada awalnya doktor mengjangkakan hayat abang tidak lama selepas lahir ke dunia, namun ternyata anak kecil ini mampu bertahan sehingga usia empat tahun untuk meninggalkan kenangan terindah dalam hidup Jamilah (ibu) dan Hamdan (bapa).
Al-Fatihah buat Allahyarham adik Iqbal Fahreen.
alt
Sebuah kisah benar menyayat hati yang melambangkan kasih sayang seorang ibu kepada anaknya.


Selasa, 26 Julai 2011

iktibar sebuah kematian

Yang Akan Mengikut Mayat Ada Tiga Perkara iaitu:


1. Keluarga
2.. Hartanya
3. Amalnya

Ada Dua Yang Kembali Dan Satu akan Tinggal Bersamanya iaitu:

1. Keluarga dan Hartanya Akan Kembali
2. Sementara Amalnya Akan Tinggal Bersamanya.

MAKA KETIKA ROH MENINGGALKAN JASAD

Terdengarlah Suara Dari Langit Memekik, ‘Wahai Fulan Anak Si Fulan..

• – Apakah Kau Yang Telah Meninggalkan Dunia, Atau Dunia Yang Meninggalkanmu?
• – Apakah Kau Yang Telah Mengumpul Harta Kekayaan, Atau Kekayaan Yang Telah Mengumpulmu?
• – Apakah Kau Yang Telah Menumpuk Dunia, Atau Dunia Yang Telah Menumpukmu?
• – Apakah Kau Yang Telah Mengubur Dunia, Atau Dunia Yang Telah Menguburmu?’

KETIKA MAYAT TERGELETAK AKAN DIMANDIKAN

Terdengar Dari Langit Suara Memekik, ‘Wahai Fulan Anak Si Fulan…

• – Mana Badanmu Yang Dahulunya Kuat, Mengapa Kini Terkulai Lemah?
• – Mana Lisanmu Yang Dahulunya Fasih, Mengapa Kini Bungkam Tak Bersuara?
• – Mana Telingamu Yang Dahulunya Mendengar, Mengapa Kini Tuli Dari Seribu Bahasa?
• – Mana Sahabat-Sahabatmu Yang Dahulunya Setia, Mengapa Kini Ghaib Tak Bersuara?

KETIKA MAYAT SIAP DIKAFANKAN

Suara Dari Langit Terdengar Memekik,’Wahai Fulan Anak Si Fulan

• – Berbahagialah Apabila Kau Bersahabat Dengan RedhaMU
• – Celakalah Apabila Kau Bersahabat Dengan Murka Allah
• – Kini Kau Tengah Berada Dalam Sebuah Perjalanan Nun Jauh Tanpa Bekal
• – Kau Telah Keluar Dari Rumahmu Dan Tidak Akan Kembali Selamanya
• – Kini Kau Tengah Safar Pada Sebuah Tujuan Yang Penuh Pertanyaan.’

KETIKA JENAZAH DI USUNG

Terdengar Dari Langit Suara Memekik, ‘Wahai Fulan Anak Si Fulan..

• – Berbahagialah Apabila Amalmu Adalah Kebajikan
• – Berbahagialah Apabila Matimu Diawali Taubat
• – Berbahagialah Apabila Hidupmu Penuh Dengan Taat.’

KETIKA MAYAT SIAP DISEMBAHYANGKAN

Terdengar dari Langit Suara Memekik, ‘Wahai Fulan Anak Si Fulan..

• – Setiap Pekerjaan Yang Kau Lakukan Kelak Kau Lihat Hasilnya Di Akhirat
• – Apabila Baik Maka Kau Akan Melihatnya Baik
• – Apabila Buruk, Kau Akan Melihatnya Buruk.’

KETIKA MAYAT DIBARINGKAN DI LIANG LAHAD

terdengar Suara Memekik Dari Langit,’Wahai Fulan Anak Si Fulan…

• Apa Yang Telah Kau Siapkan Dari Rumahmu Yang Luas Di Dunia Untuk Kehidupan Yang Penuh Gelap Gulita Di Sini
Wahai Fulan Anak Si Fulan…
• – Dahulu Kau Tertawa, Kini Dalam Perutku Kau Menangis
• – Dahulu Kau Bergembira,Kini Dalam Perutku Kau Berduka
• – Dahulu Kau Bertutur Kata, Kini Dalam Perutku Kau Bungkam Seribu Bahasa.’

KETIKA SEMUA MANUSIA MENINGGALKANNYA SENDIRIAN

Allah Berkata Kepadanya, ‘Wahai Hamba-Ku…. .

• Kini Kau Tinggal Seorang Diri
• Tiada Teman Dan Tiada Kerabat
• Di Sebuah Tempat Kecil, Sempit Dan Gelap..
• Mereka Pergi Meninggalkanmu. … Seorang Diri
• Padahal, Kerana Mereka Kau Pernah Langgar Perintahku
• Hari Ini,…. Akan Kutunjukan Kepadamu
• Kasih Sayang-Ku
• Yang Akan Takjub Seisi Alam
• Aku Akan Menyayangimu
• Lebih Dari Kasih Sayang Seorang Ibu Pada Anaknya’.

Kepada Jiwa-Jiwa Yang Tenang Allah Berfirman , ‘Wahai Jiwa Yang Tenang

• Kembalilah Kepada Tuhanmu
• Dengan Hati Yang Puas Lagi Diredhai-Nya
• Maka Masuklah Ke Dalam Jamaah Hamba-Hamba- Ku
• Dan Masuklah Ke Dalam Jannah-Ku’

-kematian akan datang tidak cepat atau lambat walau sesaat,oleh itu,bersedialah-


Jumaat, 22 Julai 2011

BERSIH 2.0:Di Balik Tirai Dirimu





Imaginasi dan perjuangan seseorang adalah personal… tidak dapat dimiliki orang lain, bahkan dimiliki pejuang lain pun tidak dapat… Begitu seorang pejuang yang mati, tugasnya sebagai pejuang tidak dapat diambil alih orang lain. – 10 Julai 2011
Bersih 2.0 adalah sebuah harapan yang terlahir dalam bentuk realiti. Biar didendang sumbang oleh sang penguasa saban ketika, namun jiwa rakyat yang merdeka tidak dibiar bertepi gulana. Sungguh, bukan ribuan dua mereka yang jiwanya merdeka itu.
Hadhirnya mereka – gelandangan anak merdeka di setiap lorong dan jalanan kota Sembilan Julai lalu adalah satu-satunya rakaman ulung potret kehidupan rakyat Malaysia. Indah. Terlalu indah untuk digambarkan oleh kata-kata.
* * *
Betapa seisi dunia menyaksikan, harapan jiwa-jiwa merdeka ini bukanlah suatu candra (yang tidak terlihat), malah ia sampai dirasa oleh segenap warga Malaysia – di serata ceruk dunia. Tak ada hiba lagi yang tersimpan saat ini, usai menyaksikan satu demi satu rakaman perjuangan mereka di tanah air sendiri. Dihina, dicaci, dibaling, dilempar – bukanlah apa-apa pun bagi mereka. Biar digertak dan dicerca, hanya satu yang mereka laungkan – Keadilan untuk semua.
Helai demi helai rakaman Sembilan Julai itu saya tatap. Seorang perempuan tua Cina bersama sisa kuntuman kekwa, berjalan dalam redha. Seorang lelaki India, yang tidak sempurna langkahnya, melangkah laju bersama anak-anak muda.
Saat terlihat seorang isteri tua bertudung litup teguh memaut lengan suaminya merentas arus manusia, air mata saya jatuh. Tiada daya untuk membayangkan apa yang telah mereka lalui selama ini. Barangkali ada keadilan yang masih mereka belum dapatkan, yang masih belum tertegakkan. Tiada siapa yang tahu.
Melihat perjuangan mereka dari lensa kamera sudah cukup untuk meruntun jiwa, apatah lagi bagi mereka yang jasadnya memang dzahir di sana.
* * *
Membaca segala kekejaman pihak berkuasa terhadap rakyat yang tiada cela dosa ini, hanya membangkit rasa kasihan yang tidak ternilai jumlahnya. Simpati yang tidak berbelah bahagi melihat ada sebuah golongan yang tiada jiwa di hati mereka.
Usahkan sedikit belas, seculas hormat pun tidak ada di dalam hati mereka. Rakyat itu tiada apa di dalam genggamannya, hanya berbekalkan kalimat doa semata; namun tetap jua dibidas senjata, tetap jua dibilas oleh air berbisa – oleh mereka yang kononnya berkuasa.
Mereka itulah yang sebenarnya penderhaka negara. Mereka yang dahulunya berikrar mahu menjaga keamanan negara, melindungi warga jelata, kini bertukar lagak singa membaham mangsanya. Meraut luka di tubuh rakyat yang dahagakan keamanan; mencantas mimpi rakyat yang rindukan kebajikan.
Nyata, tiada apa yang mampu diharapkan lagi dari mereka. Kerana kuasa, mereka angkuh dengan rakyat sendiri. Kerana selesa, mereka alpa pada janji. Barangkali semua sudah mengerti, dari hari ini, perjuangan kita adalah sendiri.
* * *
Barangkali di sudut dunia yang lain, ada mereka – yang mencemuh perjuangan kalian pada hari ini. Mereka yang gelisah memikirkan pelanggan dan perniagaan, mereka yang resah memikirkan robohnya tiang rezeki, mereka yang melempar benci hanya kerana sekatan jalan.
Biarkan mereka dengan ‘dunia’.
Barangkali mereka lupa, dunia yang kita diami ini bukan milik kita. Bukan juga warisan nenek moyang kita. Ia adalah amanah dari anak-anak kita. Kita hanya meminjamnya dari mereka, sama seperi yang kita pernah pinjamkan pada Adam dan Hawa. Sampai satu ketika, semua yang ada menjadi tiada makna.
Yang tinggal – Cuma himpunan peristiwa-peristiwa.
* * *
Jangan sesekali kalian lupa akan peristiwa di zaman Ibrahim. Seekor burung kecil yang terbang berulang alik mengisi air dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar tubuh Ibrahim. Itulah yang dilakukannya berulangkali. Sehingga makhluk lain bertanya mengapa ia berlaku sedemikian, air itu jika dihimpun sekalipun, tiada mampu memadamkan api tersebut.
Lalu dijawab olehnya, “Meski Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkannya atau tidak, tetapi sekurang-kurangnya Allah menjadi saksi bahawa aku telah berusaha untuk menyelamatkan ugama-Nya”.
Demikianlah, Dia memberi pesan melalui peristiwa-peristiwa umat terdahulu.
* * *
Bergembiralah kalian, seandainya langkah kelmarin kerana ingin mempertahankan keindahan nama-namaNya. Bergembiralah dengan pesan besar yang pernah disampaikan – bahawa keadilan itu akan kita genggami jua, jika tidak di dunia ini, pastinya kita temui di sana. Itu bukan janji dari penguasa dunia, tetapi Dia – penguasa seluruh jagad raya.
Bersaksilah jua akan sebuah kebenaran – kalian berjuang bukan atas nama bangsa. Takbir kalian bukan “Melayu”, bukan “UMNO-BN”. Hari ini, kerana kalian, jutaan warga yang ‘terlelap seketika’ menyaksikan sendiri dengan segala ruh yang ada, akan sebuah karya penguasa.
Nyata, betapa sengkarutnya alur perjuangan yang bakal ditempuh oleh kita, warga jelata yang tiada upaya. Sesungguhnya, selagi kita tidak menjadikan nama perjuangan sebagai wadah mencari dunia, maka dzat dan citranya akan tetap harum di setiap persada.
Biarkan mereka yang singkat visi hidupnya. Mereka yang hanyut bagai reba – sama ada ke pinggir atau terumbang-ambing di muara. Kerana kuasa, mereka lupa dengan hal-hal kemanusiaan diri dan sesama manusia.
Demi, betapa bukan tujuan kehidupan kita untuk memberi arah, mahupun menentukan jalur manusia yang lain. Perjuangan ini juga seumpama Cahaya-Nya (hidayah), tidak mampu didapati di mana-mana. Perjuangan ini bukan antara manusia desa dan manusia kota, tetapi kita – seluruh rakyat Malaysia.
* * *
9 Julai 2011.
Ia bukan sekadar simbolik harapan, tetapi ia mendukung tinggi sebuah kebenaran – bahawa rakyat Malaysia bukanlah Melayu, Cina dan India tetapi Anak Malaysia.
Ingin sekali saya khabarkan kepada jiwa-jiwa merdeka itu, bahawa mereka bukan sendiri. Betapa di setiap pelusuk dunia, ingatan dan doa teguh mengiringi. Carilah tangga yang nyata itu, biar terpaksa mendakinya dari khayalan mimpi kerana di balik tirai itulah, keindahan-Nya akan Dia tampilkan.
Di mata dunia, kalianlah Wira.